Wednesday, August 13, 2014

Manhaj Syaikh Abdullah Bin Bayyah Mengugurkan Penerapan Hudud

Siapa yang tidak kenal Syaikh Abdullah Bin Bayyah, seorang ulama terkenal yang berasal dari Maurintania, yang juga pernah menjabat sebagai Menteri Agama, Menteri Pendidikan, lalu Menteri Keadilan dan akhirnya Wakil President Maurintania. Beliau seorang ulama bermazhab Asy'ari secara akidah, Maliki secara fiqh. Beliau juga adalah tokoh Fiqh Minoritas, dan Usul Fiqh era kini, yang juga pakar dalam menerapkan Maqashid al-Syariah. Banyak isu-isu fiqh minoritas yang dibincang dan dirujuk kepada beliau untuk menyelesaikan di negara-negara di mana umat Islam sebagai golongan minoritas di sana. Beliau jugalah guru kepada Syaikh Hamza Yusuf dari Amerika dan Habib Ali al-Jufri. Penulis sendiri sempat mendapat siraman intelectual dan rohani daripada beliau di salah satu hotel di Rabat, dan penulis juga sempat berkawan dengan cucu beliau yang menuntut di Dar al-Hadis al-Hasaniyyah, Rabat.

Habib Umar Ben Hafiz bersama Syaikh Abdullah Bin Bayyah
Untuk kali ini, penulis ingin menulis sedikit tentang manhaj Syaikh Abdullah Bin Bayyah dalam menggugurkan diterapkannya hudud pada zaman sekarang. Tentunya, ia adalah sebuah isu yang paling kontraversi untuk dunia politik partai Islam pada era ini, memandangkan banyak dari partai-partai Islam ini menggunakan isu Hudud sebagai trademark dan pelaris untuk mendapatkan suara rakyat dalam pesta demokrasi. Apatah lagi, ada yang sampai berkobar-kobar berorasi bahawa memperjuangkan hudud berarti memperjuangkan kewajiban solat dan sesamanya. Walaupun kita tidak tahu keikhlasan hati seseorang kerana hanya Allah-lah yang Maha Mengetahui, akan tetapi, paling tidak masyarakat awam harus mengetahui isu-isu perbincangan masalah fiqh yang dalam, agar tidak terjerat dalam ta'asub sama ada politik, mazhab, maupun tokoh tertentu. Sebaliknya memilih mana yang dianggap paling rajih, dan paling sesuai dengan situasi yang dicermati.

Sebelum penulis menguraikan pendapat Syaikh Abdullah Bin Bayyah, perlu diketahui bahawa pemikiran beliau ini didapatkan dalam kitab terbaru beliau yang berjudul: "تنبيه المراجع على تأصيل فقه الواقع" (Peringatan Rujukan-Rujukan untuk Menubuhkan Fiqh Realiti) yang dicetak pada tahun ini iaitu 2014. Beliau menguraikan pembahasan hudud ini setelah menegaskan bahawa asas untuk menubuhkan fiqh realiti adalah salah satunya dengan "تحقيق المناط" iaitu sebuah istilah paling penting dalam ilmu usul fiqh yang berada dalam bab Qiyas. Tahqiq al-Manath adalah "هو النظر في معرفة وجود العلة في آحاد الصور الفرعية التي يراد قياسها على أصل سواء أكانت علة الأصل منصوصة أم مستنبطة" (Suatu penalaran untuk mengetahui kewujudan ilat pada satu-satu gambaran-gambaran cabang fiqh yang dikehendaki qiyasnya terhadap asal sama ada ilat asalnya itu ternas atau diistinbat). Contoh yang diberi oleh Syaikh Abdullah Bin Bayyah adalah isu dimana Rasulullah SAW meninggalkan kewajiban meruntuhkan ka'bah setelah pembukaan kota Mekkah dan membina ka'bah sesuai dengan kaedah Nabi Ibrahim AS kerana menilai umatnya baru sahaja meninggalkan budaya jahiliyyah. Ini adalah salah satu penetapan ilat dapat menggugurkan kewajiban kerana takut akan mafsadah yang diduga akan terjadi berakibat dari lemahnya iman umat.

Begitu juga dengan halnya hudud; menurut Syaikh Bin Bayyah, hudud harus dilihat dari perspektif tahqiq al-manat, bukan semata ia adalah bahagian dari perkara yang muhkam yang disebut dalam al-Quran. Inti dari tahqiq al-Manat di sini, apakah dunia yang ada sekarang boleh menerima hudud atau bahkan justru akan memusuhi hudud kerana lemahnya iman dan kerana bertentangan dengan relevansi zaman dan waktu.

Tentunya kita semua akan beriman dengan adanya syariat wajib dianuti, tidak boleh ditinggalkan. Akan tetapi ia terbagi kepada dua, iaitu 1) "شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْه" Surah Syura ayat 13 yang bermaksud (Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya - apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) Yang Engkau seru mereka kepadaNya). Maka ini masuk dalam kawasan akidah secara keseluruhannya. Ia adalah membenarkan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada segala apa yang telah ditetapkan secara pasti dengan dalalah yang qat'iyyah - iaitu terdapat penetap yang qat'ie sama ada dari Quran, atau hadis yang mutawatir yang selamat dari apa-apa perlawanan yang kuat. Dan yang dimaksud dengan dalalah qat'iyyah adalah sebuah dalil yang mufassar menurut Hanafiyyah atau nass menurut istilah majoriti ulama lain yang tidak dapat menerima takwil. 2) "لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا" Surah al-Maidah ayat 48 yang bermaksud (bagi tiap-tiap umat Yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)). Maka ini masuk dalam kawasan fiqh amaliyah yang terpaku pada tuntutan kejadian suatu perkara (terkenal dengan istilah khitab wadl'i bukan taklifi) dari segi sebab, syarat, pencegah. Maka daerah kedua ini tidak akan mengeluarkan seseorang dari agamanya selagi ia tidak bersamaan dengan keingkaran atau melawan kewajiban atau kewujudan hukum tersebut.

Oleh itu (menurut Syaikh Bin Bayyah), sesungguhnya dengan tidak diterapkannya hudud pastilah masuk dalam daerah yang kedua; kecuali kalau ia terpaksa keluar dari daerah amalan semata kepada daerah i'tikad dengan sekiranya peninggalan tersebut disertai dengan suatu ingkar atau perlawanan.

Lalu munculah satu pertanyaan, bagaimana kita mentahqiq al-manath pada masalah ini - untuk menolak pengkafiran dan menjauhi dari mimpi ngeri fitnah, malah menjauhi dosa; ketika sahlah sebuh amalan dan niatnya juga bagus?

Untuk menjelaskan ini menurut Syaikh Abdullah Bin Bayyah, tidak ada yang paling afdal untuk perkara ini selain Syaikh Ibn Qayyim RH di dalam kitabnya I'lam al-Muwaqqi'in di bawah judul "Berbezanya fatwa disebabkan berbezanya tempat dan waktu". Dari segi "tempat"; maka konteks yang tepat secara manath untuk mengakhirkan hudud atau meniadakannya adalah menganggap bahawa bumi sekarang adalah bumi musuh yang akan memunculkan resistance. Dalilnya adalah berdasarkan dari hadis, amalan sahabat, ijmak dan qiyas. Contoh Hadis adalah kisah Nabi SAW melarang memotong tangan ketika terjadi peperangan (Sunan Turmizi: Bab Kisah tentang tidak boleh memotong tangan ketika perang). Menurut Ibn Qayyim; ketika itu Nabi melarang menegakkan hudud Allah ketika terjadi perang kerana takut terjadi sesuatu yang lebih membuatkan Allah marah dibanding hanya kerana meninggalkan penegakan hudud, seperti mungkin menyebabkan orang yang terkena hukuman tersebut menjadi musyrik kerana mencari kesempatan untuk perlindungan dari hukuman orang Islam dan kerana marah. 

Menurut Syaikh Bin Bayyah lagi; ini juga memberi kesimpulan bahawa seorang pemimpin boleh menangguhkan hudud atau menggugurkannya ketika dikhawatirkan terjadinya sebuah kerusakan yang lebih besar, misalnya seperti kasus Umar RA yang menggugurkan pada tahun kemarau serta beberapa kasus yang lain! Ini jelas menunjukkan penetapan al-manath oleh seorang pemimpin dengan menilainya secara zaman atau waktu. Maka umat Islam pada era ini sangat memerlukan pada tahqiq al-manath oleh seorang penentu al-manath tadi iaitu pemimpin, president, dan parlimen kerana merekalah yang menanggung tanggung jawab tersebut. Ini sejatinya bukanlah sebuah cara untuk meraih dukungan pada seseorang ataupun bersifat munafiq, akan tetapi ia adalah untuk menentukan secara nyata ilat dari sebuah realitas dengan timbangan maslahah dengan meneliti ilat-ilat yang telah diisyaratkan oleh kisah-kisah yang telah disebutkan tadi dari para sahabat yang melarang untuk menegakkan hudud tadi di bumi musuh.

Kitab yang dimaksud dalam artikel ini
Untuk memperjelas isu ini lagi, maka tentunya kita akan memunculkan dua persoalan: 1) berkaitan dengan takhrij al-manath iaitu menetapkan ilat sesuati dengan konteks dan ia adalah premis pertama. 2) berkaitan dengan tahqiq al-manath iaitu mengeluarkaan hukum sesuai dengan realitas dan ia adalah premis kedua.

Soalan: Apakah ilat tidak didirikannya hudud di bumi musuh?

Jawabannya ringkasnya Ibn Qayyim telah mengisyaratkan kepada maslahat Islam itu sendiri. Ia adalah ilat yang menyerupai hikmah. Ia dianggap lebih umum daripada ia sebagai ilat khusus. Ilat yang lain adalah takut orang yang terkena hudud tadi akan jadi kafir. Maka di sini, tempat ilat tersebut adalah personal tersebut yang terkena hukuman. Ia ditinggalkan hukum hudud ke atasnya kerana untuk menjaga jiwa pesalah tersebut dan menjaga dasar agamanya Islam (حفظ الدين) yang mana ia adalah ilat yang paling penting dalam Maqashid al-Syariah.

Soalan selanjutnya; Persoalan yang selalu diisukan pada hari ini adalah berkaitan dengan realitas dan apakah derajat ketidak tenangan pada kebanyakan kerajaan Islam pada zaman ini? dan apakah seseorang itu pasti mampu untuk menerima dijatuhkan hukuman badan pada mereka (seperti potong tangan, dan rejam)? dan sejauh manakah pemimpin-pemimpin Islam terkesan dengan agama? Apakah merekah akan mengikuti orang non muslim?

Tentunya susah untuk menjawab persoalan tersebut secara objective kerana semua negara berbeza antara satu dengan lainnya, akan tetapi posisi setengah negara Muslim apakah boleh digugurkan hudud kerana menolak ditegakkan hudud kerana wujudnya Syubhat. Sudah tentu kita dapat menagguh penegakan hudud memandangkan ada sebuah hadis yang juga menjadi kaedah fiqh iaitu "ادرءوا الحدود ما استطعتم" (Tinggallah hudud selagi kamu mampu) yang diriwayatkan oleh Hakim dan Bayhaqi. Juga seperti kebijakan Sultan Umar bin Abdul Aziz pada pembesar-pembesarnya: "Tinggalkanlah hudud selagi kamu mampu dengan syubhat-syubhat yang ada, lebih baik engkau tersalah dalam memberi keampunan daripada menjatuhkan hukuman pada yang tidak bersalah".

Untuk menutup pembahasan ini, Syaikh Abdullah Bin Bayyah telah sangat bijak tapi tricky dengan menyatakan bahawa mendirikan hudud walaubagaimanapun tetap adalah wajib tapi dalam keadaan normal tanpa ada keraguan sama sekali! Ia juga haruslah disertai dengan mengaku kewajibannya dan menetapkan ia bahagian dari daerah keimanan. Beliau juga menegaskan bahawa bukanlah maksud beliau untuk mempergunakan realitas yang ada agar memberi uzur pada pemimpin atau rakyatnya untuk meninggalkan hudud, juga bukan untuk membuat-buat tidak tahu realitas yang sebenarnya yang akan membuat kita beruzur menegakkan hudud.

Yang dituntut di sini adalah agar kita menetapkan al-manath tadi dari arah yang dianggap paling aman terhadap negara dan rakyatnya. Tidaklah semestinya penentuan al-manath tadi dilakukan oleh seorang fakih yang tidak mengetahui kejelasan sesuatu perkara, atau kenyataan-kenyataan yang banyak terjadi serta permasalahan-permasalahan dalaman yang akan menyebabkan perang saudara juga masuk campur dari negara luar yang akan berakibat pada sebahagian dari ketetapan nasional. Disertai dengan sebuah isyarat kepada kaedah: "لا يسقط الميسور بسقوط المعسور" (tidaklah gugur perkara yang mudah disebabkan gugurnya perkara yang susah) maka sebuah pemerintahan wajiblah melakukan perkara-perkara tersebut:

1- Tidak meninggalkan suatu ruang dari hukuman, kerana secara hukum amnya tetap harus ada hukuman bagi apa-apa kejahatan, maka janganlah sampai meninggalkannya selagi mungkin.
2- Mengerakkan para pendakwah untuk mengajarkan akhlak sosial melalui medium dakwah, dan menyirami sifat-sifat keutamaan.
3- Mengerakkan umat untuk menyempurnakan kekuatan dalaman dan luaran agar dapat menyempurnakan struktur penegakan syariat sesuai dengan derajat kesuciaannya dan yang paling tepat pada peninggalannya, dan yang paling bermanfaat sesuai yang dituntut oleh konteks.
4- Untuk terus berusaha membangun dialog bersama golongan dalaman maupun luaran; agar dapat memuaskan sebagai gantian dari bersifat paksaan yang akan membawa kerusakan lebih banyak dari membawa kemaslahatan pada era ini.

Acara temu ramah dan soal-jawab Syaikh Abdullah Bin Bayyah dengan pelajar-pelajar luar negara di Morocco

Ini semua adalah masalah-masalah penting yang harus dilakukan pemimpin untuk menetapkan al-manath dan tidak layak bagi mufti atau fakih yang tidak memiliki kemampuan untun menetapkan al-manath seperti yang telah disebutkan.

Malah, kalau membincangkan isu hudud, jangan lupa terdapat masalah yang lebih penting iaitu masalah pajak atau cukai untuk keperluan negara, begitu juga masalah pinjaman ribawi dari pasar internasional.

Sekian adalah ringkasan dengan penambahan sesuai ijtihad penulis yang fakir kepada rahmat Allah ini, semoga tulisan ini dapat bermanfaat kepada seluruh umat Islam dari sikap munafiq, tergesa-gesa, ekstrimis, dan salah faham. Amin Amin Amin. Penulis sendiri memiliki pandangan pribadi, sedangkan ini hanya kesempatan mengemukakan pandangan seorang ulama agung kepada yang masih belum mengenal beliau.

2 comments:

Unknown said...

Salam.Sidi Ustaz, bolehkan sidi berkongsi apa pula pandangan sidi?

Syukran.

Irysusanty (Halimeda) said...

Assalamu'alaikum
Kira-kira sampai kapan sehingga hudud wajib ditegakkan?? menunggu keadaan yang bagaimana??